? ??????????????Love Is Strange? ????? ?????? ???Rating: 4.6 (21 Ratings)??171 Grabs Today. 17009 Total Gr
abs. ??????Get the Code?? ?? ?????Green Fumes? ????? ?????? ???Rating: 4.3 (204 Ratings)??125 Grabs Today. 42443 Total Grabs. ??????Get the Code?? ?? ???????Dusk For The Ambitious? ? BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Wednesday, June 24, 2009

Semester sibuk...

Salam bahagia dan ceria. Sudah lama tidak menulis dalam ruangan ini. Sibuk atau dua huruf yang selalu ditulis bersama 'BZ'. Semester kedua persekolahan telah bermula.Boleh dikatakan semester akademik. Peperiksaan awam semakin hampir. Pelbagai strategi perlu diatur agar pencapaian pelajar, mata pelajaran, sekolah akan meningkat. Keputusan peperiksaan pertengahan tahun yang baru lalu sudah tentu menjadi kayu ukurnya. Sukatan pelajaran perlu diselesaikan. Kelas tambahan perlu dijalankan.Masa di sekolah perlu dipanjangkan. Kualiti pengajaran dan pembelajaran perlu ditingkatkan. Doa ibu bapa perlu diperbanyakkan. Maka apa yang kita lihat masih selamba? Anak-anak murid kita. Yang rasa tiada apa-apa perlu berubah atau berubah. Sering tidak hadir, belum lagi mahu berubah. Letih? Ada istilah letih untuk guru? Ada tapi tidak terucap... Sehingga ruangan ini di tulis pun ada rasa letih dan lesu yang teramat tetapi ada senarai panjang tugasan yang perlu disiapkan. Esok ke Muar? Itu yang mungkin dan pasti. Tugasan lain menanti. Tanggungjawab kepada rakan sekerja. Mudah-mudahan Allah beri kekuatan, kesihatan dan kemudahan dalam menjalankan tugas-tugas ini. Amin...

Sunday, June 7, 2009

Pengkritik hebat.....

Salam paling bahagia buat semua. Semoga hari-hari kita bahagia dan ceria. Untuk ceria dan bahagia kita perlu positif dalam semua aspek kehidupan. Kalau tak mampu semua pun, dapat 80 peratus pun kira ok. Baru-baru ini seorang kawan bercerita dan meluahkan kepada saya. Begini antara luahannya.:
" Saya rasa tertekan dengan seorang rakan ni. Saya dah cuba positifkan diri dan terima apa pun secara positif tetapi yang ini tak boleh. Rasa marah, geram dan tertekan. Selama ni apa saja tindakan dia saya terima saja. Kali ini dia pergi mengadu kepada Pengetua yang program yang saya buat dan rancang banyak tidak betulnya. Macam-macam kritikannya dan dia mengadu yang saya tidak buat tugas atau tidak ada kerja di sekolah".
Saya cuma tersenyum dan ketawa. Yalah takkan saya nak curah minyak ke dalam api. Saya tanya juga, baru sekarang ni ke kena buat tugasan dengan dia. Jawapannya ya. Patut la...kira baru terkena la tu. Anda rasa apa reaksi dan jawapan saya selepas itu? Saya bukan seorang kaunselor dan bukan pula seorang yang penyabar, jadi bagaimana dan apa yang saya buat untuk kawan saya rasa lega? Saya kongsi pengalaman saya pula dengan dia. Pengalaman saya dikritik oleh si pengkritik hebat ni. Kira mengapikan juga ke? Peduli apa, dah tentu saya bukan kaunselor.
Si pengkritik hebat ni memang hebat mengkritik. Kerja dia mengkritik sahaja. Tidak pernah memberi pandangan membina. Bagi saya si pengkritik hebat ni berjiwa besar tetapi berakal singkat. Dia cemburu melihat kejayaan dan keupayaan orang lain. Dia bimbang orang lain akan lebih popular sedangkan dia tidak mampu menandingi atau tidak pernah berusaha untuk menandingi dengan cara yang sihat maka dia cuba mencantas orang tersebut. Caranya, tentu sekali dengan mengkritik dan mengutuk individu berkenaan. Kerja orang tak pernahnya betul. Salah saja. Jika ada 150 orang guru di sekolah maka 149 orang semua salah. Seorang je yang betul iaitu dialah.
Saya malas nak senaraikan apa juga kritikan dan kutukan dia terhadap tugas-tugas dan kerja saya, buat saya sakit hati je. Tapi yang akan saya ingat sampai bila-bila adalah 'ayat-ayat cinta ni': "Bukan susah sangat jadi setiausaha peperiksaan, setakat buat jadual pekse je". Amboi sedapnya mulut bercakap. Orang bijak pandai ada berkata, kalau tak tahu lebih baik diam, jika tidak cuma akan menunjukkan kebodohan dan kedunguan kita je. Kalau tugas SU peperiksaan setakat buat jadual pekse, mengapa ramai orang tidak sanggup memikul tugas ini? Mengapa pernah dicadangkan oleh persatuan guru agar jawatan ini dijadikan jawatan hakiki di sekolah dan diberikan elaun? Kalau setakat buat jadual pekse je, baik bagi je pada pelajar. Boleh juga kan?
Pernah juga rakan-rakan guru bertanya, saya ada dapat elaun sebagai SU peperiksaan? Jawapannya tentu tidak. Waktu mengajar kurang 4 waktu je daripada orang lain. Jawapan mereka, lebih rela mengajar lebih waktu daripada jadi SU peperiksaan. Ada juga yang menyebut jawatan SU peperiksaan adalah 'kerusi panas'. Sesiapa yang memegang tugas ini pasti akan terus naik pangkat. Terima kasih atas doa anda. Saya percaya daripa 150 orang, 148 orang tahu dan faham tugas-tugas saya. Amin...
Kepada rakan saya yang pernah menerima kritikan dan kutukan daripada si pengkritik hebat ni, besyukurlah sebab anda di kritik. Ini bermakna anda telah melaksanakan tugas yang baik dan peranan anda begitu bermakna di tempat anda bertugas. Bersyukurlah kerana pahala anda turut bertambah. Rezeki juga semakin bertambah. Yalah, rezeki bukan dalam bentuk duit sahaja, kesihatan yang baik juga rezeki. Orang yang suka mengkritik negatif (pengkritik positif bagus) dan mengutuk orang ni, pahalanya akan diberi kepada orang yang dikutuk. Seronok apa dapat pahala free. Bila pahala kurang, rezeki pun kurang. Tu yang asyik cuti sakit je. Ye la sakit dalam hati lama-lama akan bawa sakit pada tubuh. Jadi kurang-kurangkanlah sakit hati pada orang lain.
Moga-moga kita akan sama-sama berusaha untuk kebaikan diri, orang lain dan persekitaran. Untuk menjdi hebat kita perlu berfikiran hebat. Jangan lupa manusia boleh dibahagikan kepada tiga kelas:
1. Kelas rendah: Orang yang sibuk bercerita tentang orang lain. Ada saja modalnya.
Dalam kain orang semua dia tahu. Kalah wartawan gosip hiburan. Ada je
tak betulnya orang lain.
2. Kelas sederhana: Orang yang bercerita tentang peristiwa. Kira macam pengulas la.
Selalunya orang macam ni dah tiada topik nak cerita. Kira bagus sikit
daripada yang di atas.
3. Kelas tinggi: Orang yang bercerita tentang kejayaan dan bagaimana perancangan untuk
berjaya. Ada misi dan visi dalam hidup. Sentiasa sibuk untuk mencapai
misi dan visinya. Tapi bukan orang yang angan-angan mat jenin.
Golongan ini biasanya kurang bercakap dan tak aniaya orang.
Anda tergolong dalam kelas yang mana? Semoga kita sama-sama bahagia dan ceria dalam mengejar impian dan cita-cita kita. Semoga kita juga bahagia dalam melayari kehidupan bahagia kita. Cemburuilah kejayaan orang lain untuk dijadikan pendorong kejayaan kita..

Friday, June 5, 2009

Cuti dan 'shopping'...

Salam bahagia dan sejahtera buat semua. Dah lama saya tidak menulis dalam ruangan blog saya. Peminat setia blog saya, gorgon pasti ternanti-nanti. Bukan saya tidak mahu buka ruangan 'comment' tetapi tok guru ICT saya belum ajar lagi. Masih hidup lagi tok guru ICT saya tu cuma pengajian belum tamat. Dah lama juga saya tidak melayari internet. Lebih kurang 5 hari. Lama tu...bagi saya memang lama. Cuti kan? Cuti dari pergi sekolah je. Hakikatnya saya masih membuat kerja-kerja sekolah. Menanda kertas jawapan anak-anak murid saya sambil menganalisa seorang demi seorang dan mencari satu kaedah dan jalan penyelesaian bagi mereka untuk menguasai mata pelajaran yang saya ajar...Chemistry. Hasilnya....tunggu....buah tangan untuk anak-anak murid saya untuk menghadapi SPM 2009.
Cuti ini bila ditanya kemana destinasinya, jawapan saya mudah dan amat mudah. Ke Benut. Ada yang tertanya-tanya kenapa ke Benut? Dah tiada tempat lain yang istimewa? Benut tak istimewa ke? Amat istimewa bagi saya dan anak. Dia belajar di Benut. Di SRAB Benut. Anak saya tahun enam. Tahun ini UPSR. Maka guru-gurunya berusaha dengan begitu hebat bagi mengekalkan kecemerlangan. Saya pernah berbincang dengan seorang rakan guru. Guru-guru tahun enam ni tak suka cuti atau memang tiada istilah cuti? Sepanjang cuti ada kelas tambahan. Rakan saya menjawab,"Yang bertanya apa kurangnya. Guru-guru tahun 6, selepas UPSR bulan September mereka dah 'slow down' dan rehat di hujung tahun ketika cuti sekolah tetapi ada orang tu, SPM bulan November lepas tu sambung pula mesyuarat dan menanda sampai Januari tahun berikutnya. Ada cuti ke?". Saya tergelak...betul juga tetapi sesuatu kerja jika dilakukan dengan hati yang suka dan redha maka mudahlah jika dilakukan dengan hati yang mengkal maka sukar dan tidak menjadi.
Sempena cuti sekolah ni banyak juga 'surat saman' yang saya terima. Mana yang sempat, saya hadiri yang tak sempat tu minta maaflah. Pening juga nak layan semua. Jenis makanannya pun lebih kurang sama. Yang tinggi kolesterol dan lemak, yang manis berkrim dan macam-macam lagi. Kadang terfikir juga, patutlah rakyat Malaysia dan orang Melayu semakin 'sihat dan sendo' badannya. Nak buat macam mana, itulah menu wajib dalam majlis perkahwinan. Maka kita yang dijemput sebagai tetamu usah banyak 'songel'. Layan je la....dah memang musim mengawan ni. Lepas tu pandai-pandai la jaga badan dan kesihatan. Yang tak sempat hadir, bukan tak sudi tetapi ada halangan.
Bercerita tentang jaga badan dan kesihatan ni, Alhamdulillah pada cuti sekolah ini saya sempat beriadah di waktu pagi. Bukan joging tetapi 'brass-walk' atau jalan pantas. Bukan jalan-jalan. dapat saya perhatikan semakin ramai yang sedar tentang pentingnya senaman. Tidak kira bertubuh kecil, sederhana atau besar, senaman dan aktiviti tubuh amat penting. Ingin kongsi pengalaman, pernah satu pagi sekumpulan anak remaja mengejek seorang wanita bertubuh gempal berjalan. Amat tidak sopan dan kurang ajar rasanya. Satu pengajaran buat saya dan yang lain, jangan tunggu sehingga tubuh menjadi terlalu besar baru nak bersenam. Yang jadi haru apabila baru seminggu bersenam sudah dirasa terlalu lama dan akhirnya kecewa kerana badan tidak susut juga. Bukankah mengambil masa bertahun untuk badan menjadi sendo maka bertahun-tahun juga untuk menurunkannya.
Saya teringat kepada seorang rakan yang mengunjungi London management untuk mengembalikan bentuk tubuhnya. RM8000.00 untuk 20 kali rawatan dan pertemuan. Lain juga orang berduit dan kurang duit. Saya menantikan hasilannya nanti.Pasti suaminya jadi bertambah sayang. Yang bertubuh gempal tu bukannya suami tak sayang, sayang juga tetapi jika diberi pilihan, anda rasa apa jawapan suami? Faham-faham saja la, lelaki akan tertarik kepada wajah, tubuh dan penampilan. Tanya la kepada mana-mana lelaki pun samada yang berduit atau kurang duit. Selepas tiga perkara tadi baru la pandang kepada hati.Jangan salahkan mereka sebab asal kejadian mereka memang begitu. Nak cari yang pandang kepada hati dulu amat sukar sesukar nak cari perempuan yang tidak suka 'shopping'. Ada ke? Kalau ada pasti perempuan tersebut yang telah menjalani pembedahan jantina yang di dalam kad pengenalan dan sijil kelahirannya tertera 'lelaki'. Maka terimalah lelaki dan wanita seadanya..
Bercerita tentang 'shopping' (maaf jika menggunakan bahasa Inggeris.Itu istilah harian kita), saya sempat juga mengaplikasi sifat semulajadi wanita ni.Saya bukan seorang yang boros atau 'shopping-maniac'. Saya seorang yang ringkas dan berpijak dibumi nyata. Saya beli barang ikut keperluan dan kemampuan. Kadang-kadang je ikut kehendak. Itupun setelah banyak dibuat pertimbangan. Duit saya maka suka hati sayalah. Apa-apa pun perlu bijak mengatur kewangan untuk diri dan anak.
Ada juga yang kata saya ni bercitarasa tinggi. Ya ke? Saya hanya boleh memakai kasut yang lembut dan selesa sebab saya dikurniakan kaki yang kulit tapak kakinya tidak sekasar orang lain dan tapak kaki tidak setebal orang lain. Arwah nenek kata seperti kaki ibunya (arwah moyang saya). Saya pernah memakai kasut bertumit tinggi dan yang biasa-biasa saja seperti orang lain dan hasilnya badan saya sakit. Doktor yang merawat saya memberi kata dua, " Pilih, awak simpan duit untuk bayar kos perubatan dan rawatan atau awak beli kasut yang selesa (tentunya agak mahal) untuk jaga kesihatan badan awak". Orang kurang bijak je yang akan membuat pilihan pertama. kebetulan saya juga mampu membuat pilihan kedua. Itupun beli kasut dua tahun sekali. Sepasang kasut yang berharga RM200.00 ke atas dan saya memakainya selama dua tahun setiap hari ke tempat kerja. Tentu berbaloi kan?
Bukan kasut saja, saya juga tidak boleh memakai perhiasan yang bukan emas. Bunyi macam anak orang kaya yang mengada-ngada. Yang tidak mengalami boleh kata macam-macam. Kadang rasa cemburu juga melihat orang lain boleh memakai perhiasan mengikut trend terkini. Saya pun wanita dan tentunya wanita normal. Nasib baik saya bukan jenis wanita yang suka bertukar-tukar barang kemas yang pelbagai maka rasa cemburu dan teringin memiliki pelbagai bentuk dan warna barang kemas agak kurang dan kadang-kadang tiada. Alhamdulillah selamat juga duit poket saya.
Tentang makan pula, saya alahan kepada ayam. Allah dah tarik nikmat tu. Alhamdulillah Allah telah beri saya peluang menikmatinya lebih 30 tahun. Mungkin ada yang kata saya mengada-ngada. Terpulanglah, bila saya sakit bukan ada sesiapa yang boleh tolong rasa dan tanggung. Bila sudah terkena diri sendiri baru tahu apa rasanya.
Ada satu kegemaran yang saya harap tidak akan luntur. Saya suka buku. Setiap kali acara bulanan 'shopping' ke bandaraya Johor Bahru atau ke kedai buku, saya pasti akan membeli buku. Saya galakkan juga anak memilih apa juga buku yang diminatinya. Malah saya pernah membelikan anak saya buku 'magic' yang berharga melebihi RM150.00. Tidak rugi memiliki buku dan menambah ilmu. Ilmu itu kuasa kan? Bermula dari minat terhadap 'magic', dia mula minat kepada eksperimen fizik yang tentunya 'magic' juga. Magic yang ada konsep sains disebaliknya.
Ada satu bilik di rumah saya yang telah diubah suai menjadi ruang khas untuk buku. Mungkin saya perlu menimbangkan untuk membina rak buku dari syiling ke lantai. Buku dah makin bertambah dan ruang penyimpanan semakin kurang. Nak pinjam buku saya? Hmm...saya agak kedekut sedikit tentang buku ni. Mengapa? Sebab ramai yang pinjam tetapi tak ramai yang pulang. Tu yang malas tu. Bukan tidak boleh beli yang lain. Boleh dan saya mampu tetapi setiap buah buku saya ada nilai sentimentalnya. Ni bukan jiwang karat tetapi itulah nilai setiap buku milik saya. Maka suka hati sayalah...
Buku adalah sesuatu yang boleh mengajak minda dan hati kita berbicara tentang ilmu. Mungkin kita tidak berpeluang bertemu dengan penulis-penulis, para ilmuwan dan cendekiawan hebat seperti Dr HM Tuah, Dato' Dr Mohd Fazilah b Kamsah, Dr Aidh b Abdullah Al-Qarni, Dr Danial Zainal Abidin, En. Abd. Jalil Ali (sekadar menyebut beberapa nama) dan ramai lagi tetapi melalui tulisan-tulisan mereka, saya seperti berinteraksi dengan mereka.Daripada pembacaan akan bertambah matang dan rasional pemikiran kita. Mudah-mudahan insyaAllah. Bukankah kita diseru untuk banyak membaca dan menuntut ilmu?
Apa lagi saya nak buat sepanjang cuti sekolah ni? Bukan apa lagi tetapi banyak lagi. Mudah-mudahan Allah beri kesempatan dan memudahkan urusan saya. Sampai di sini…dan jumpa lagi.